"Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata"
06 Oktober 2009
Siapakah Imam Mahdi sebenarnya?
Untuk mengetahui siapakah Imam Mahdi, kita wajar merujuk kepada hadis-hadis nabi yang sahih tentangnya. Ini kerana ramai sangat yang mengaku menjadi Imam Mahdi akhir-akhir ini. Kalau tidak mengaku sebagai Imam Mahdi pun, ada orang yang tanpa segan silu mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim.Islam agama ilmu. Sehubungan dengan itu, untuk mengetahui siapakah Imam Mahdi, umat Islam tidak boleh lari daripada membincangkannya dari sudut ilmu dan dari sumber yang sahih. Sesuatu yang dianggap malang yang berlaku pada zaman ini adalah apabila terdapat segelintir umat Islam yang begitu mudah menjadi 'pak turut' terhadap sesuatu perkara tanpa berpandukan lunas-lunas ilmu pengetahuan. Justeru, tidak hairanlah ajaran sesat boleh bertapak dan berkembang dengan begitu mudah dalam masyarakat kita.
Untuk mengetahui perbahasan tentang Imam Mahdi, boleh dirujuk pada kitab-kitab hadis seumpama kitab Hadis al-Bukhari, Muslim dan selainnya. Tambahan daripada itu, buku-buku yang banyak membicarakan tentang peristiwa akhir zaman berpandukan nas dan sumber yang sahih ialah al-Isya'ah Fi Asyrat al-Sa'ah oleh Imam al-Barzanji, Kitab al-Fitan oleh Abu Nu'aim, Kiamat Hampir Tiba susunan Abu Ali al-Banjari an-Nadwi, 74 Intipati Tanda-Tanda Hampirnya Kiamat oleh 'Iwadh Bin Ali dan terjemahannya oleh Abdullah al-Qari, dan sebagainya.
Sebagai ringkasan daripada sumber-sumber yang dinyatakan tadi, didapati bahawa Imam Mahdi mempunyai nama yang sama seperti nama Rasulullah iaitu Muhammad Bin Abdullah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Dunia tidak akan kiamat sehinggalah bangsa Arab dikuasai (diperintah) oleh seorang lelaki daripada keluargaku (keturunanku) yang namanya sama dengan namaku". Imam Mahdi adalah daripada keturunan Fatimah Binti Rasulullah daripada cabang keturunan Hasan Bin Ali. Menurut Ibnu Kathir, nama penuh Imam Mahdi ialah Muhammad Bin Abdullah al-'Alawi al-Fatimi al-Hasan.Imam Mahdi dilahirkan di Madinah al-Munawwarah. Umurnya ialah di antara 30 ke 40 tahun ketika dibai'ah di dalam Masjidil Haram iaitu di antara kawasan Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim. Akhlaknya banyak menyerupai akhlak Rasulullah saw. Walau bagaimanapun, bentuk tubuh badannya tidak menyerupai bentuk tubuh Rasulullah, sebaliknya ia lebih mirip kepada bentuk tubuh Bani Israel. Hidungnya mancung dan membongkok di tengah, dahinya luas dan terserlah, mukanya bersinar dan warna kulitnya adalah seperti warna kulit orang Arab walaupun bentuk badannya seperti orang Bani Israel.
Pada mulanya Imam al-Mahdi bukanlah seorang yang terkenal dengan sifat keutamaan, namun Allah telah memberi taufik dan hidayah kepadanya sehingga dalam satu malam sahaja dia berubah menjadi seorang yang warak, alim, adil dan sebagainya. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "al-Mahdi itu dilahirkan dari keturunan Ahlul Bait (keturunan Fatimah r.a) yang telah disempurnakan oleh Allah akan segala kebaikannya pada satu malam sahaja". (Hadis riwayat Imam Ahmad, Isnadnya sahih). Kesempurnaan akhlak dan kebaikan yang dimiliki oleh Imam Mahdi ini melayakkannya untuk memimpin dunia dengan penuh keadilan serta menghapuskan segala bentuk kezaliman yang berleluasa.
Terdapat pelbagai pandangan mengenai tempoh pemerintahan Imam Mahdi iaitu selama tujuh tahun, tiga puluh tahun dan empat puluh tahun. Namun, menurut Imam Ibni Hajar al-Haitami semuanya itu adalah benar kerana riwayat yang menyatakan tujuh atau sembilan tahun ialah merujuk kepada zaman kegemilangan pemerintahannya, riwayat yang menyatakan tiga puluh tahun pula adalah merujuk kepada zaman pertengahan, manakala riwayat yang menyatakan bahawa zaman pemerintahannya adalah selama empat puluh tahun adalah merujuk kepada keseluruhan pemerintahan Imam Mahdi.
Pendokong kuat Imam Mahdi ialah Pemuda Bani Tamim yang sekaligus menjadi 'tulang belakang' kepada kekuatan Imam Mahdi. Pemuda Bani Tamim berasal dari Timur dan mengikut pandangan Syeikh Dr Walid al-'Ani yang dimaksudkan dengan Timur itu ialah Afghanistan. Namanya ialah Syuaib Bin Soleh. Beliau ialah seorang pemimpin tentera yang hebat. Pada waktu malam beliau terkenal sebagai seorang yang amat kuat dan khusyuk beribadah, manakala pada waktu siang pula, pula digeruni oleh musuh dengan ketangkasannya dalam medan perang.
Zaman pemerintahan Imam al-Mahdi akan menyaksikan keadilan kepimpinan yang hebat sehingga rahmat dan nikmat dari Allah berlimpah-ruah. Umat Islam akan hidup dalam keadaan aman dan makmur. Namun kemakmuran itu akan disusuli pula dengan fitnah pada akhir zaman yang amat mencabar iaitu dengan kedatangan Dajjal.
Wallahu a'lam
Muhammad Zahid Waliuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima Kasih sebab melawat dan komen di Blog saya